1Malaysia “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”
Pada tanggal 31 Ogos 1957, harimau kecil dari asia dibebaskan dari cengkaman penjajahan paksi hedonisme. Tanggal 31 ogos menyaksikan detik bersejarah pengisytiharan Tanah Melayu sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka. Tanggal 31 Ogos 1957 juga menyaksikan detik berkibarnya jalur gemilang yang pertama di muka bumi ini. Bermula tanggal 31 Ogos 1957, pentadbiran Tanah Melayu diserahkan kepada anak watannya dan terus dipertahankan sehingga kini. Tanggal 16 September 1963 pula menyaksikan peristiwa bersejarah Tanah Melayu diseertai Singapura, Sabah Dan Sarawak membentuk satu gagasan baharu yang dinamai Malaysia. Gagasan inilah yang melahirkan pemimpin berjiwa kental dan berhati waja dalam mentadbir serta mengurus negara yang berdaulat ini. Bermula dari bapa kemerdekaan hinggalah kepemimpinan Dato Seri Najib Tun Razak, Malaysia mencapai kecemerlangan dan kegemilangan yang dikagumi seantero dunia.
Kini Malaysia berada di zaman puncaknya setelah beberapa kali rebah dan hampir musnah. Peristiwa hitam yang akan kekal berparut dan sentiasa diingati oleh rakyat Malaysia adalah peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan pertumpahan darah antara kaum di Malaysia. Dari peristiwa hitam inilah para pemimpin berusaha melaksanakan pelbagai agenda bagi mengelakkan sejarah pahit ini berulang. Dengan kebijaksanaan yang dianugerahi Allah, pemimpin negara ini berjaya menjaga kedaulatan negara dari dikotak katikkan oleh anasir luar. Terbaharu adalah gagasan yang hadir dengan prinsip “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. gagasan yang dianggap terbaik ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam Dato Seri Najib Tun Razak pada tanggal 2 April 2009. Dengan mengambil kira kepelbagaian kaum dan realiti kehidupan masyarakat Malaysia, gagasan 1Malaysia diangkat sebagai tunjang dalam pemerintahan perdana menteri keenam ini.
Gagasan 1Malaysia merupakan satu wadah dan mekanisme untuk perpaduan yang dibentuk hasil dari pengalaman rakyat malaysia. Gagasan ini dibentuk bagi menyatupadukan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk dan berbeza budaya. Selain itu, gagasan 1Malaysia juga bertujuan memperkukuh hubungan dan kerjasama antara rakyat bagi menghadapi cabaran dan segala bentuk ancaman yang cuba menggugat keharmonian dalam kalangan rakyat. Dengan gagasan ini, setiap rakyat tanpa mengira kaum dan bangsa perlu bertanggungjawab terhadap kesejahteraan dan keharmonian yang wujud dalam masyarakat.
Penjelasan konsep 1Malaysia
Dato Seri Najib Tun Razak
(Perdana Menteri Keenam, Pengasas Gagasan 1Malaysia)
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita; Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
Berdasarkan penjelasan perdana menteri, gagasan 1Malaysia menetapkan masyarakat Malaysia perlu berfikir dan bertindak di luar kotak perkauman masing-masing. Masyarakat Malaysia tidak wajar berfikir untuk kepentingan kaumnya sahaja. Skop pemikiran harus dimajukan dan dinamik tanpa terperangkap dalam pemikiran tradisional perkauman. Sikap ini harus wujud dalam semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira taraf sosial dan status dalam masyarakat.
Ironinya, para pemimpin di negara ini juga harus bertanggungjawab terhadap gagasan 1Malaysia ini. Para pemimpin tidak seharusnya hanya pandai berhujah tanpa bertindak. Justeru, frasa “Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” merujuk kepada peranan pemimpin dalam mentadbir dan memenuhi janji yang telah ditabur kepada rakyat. Justeru, pemimpin perlu memenuhi hak dan keperluan rakyat tanpa mengira agama dan kaum.
Frasa kedua dalam penjelasan perdana menteri juga boleh dikatakan sebagai menerus budaya yang telah diamalkan oleh pemimpin terdahulu iaitu melayan dan memenuhi kehendak setiap etnik di Malaysia. Hal ini selari dengan Perkara Lapan (Perkara 8) Perlembagaan Malaysia iaitu hal Kesamarataan yang menyatakan bahawa setiap individu memiliki hak yang sama sebagai rakyat dalam negara ini.
Kesimpulannya, berdasarkan penjelasan gagasan 1Malaysia, perdana menteri meletakkan harapan agar setiap pemimpin di negara ini bertindak melepasi sempadan kaum dan melebarkan khidmat mereka terhadap kaum lain di Malaysia. Harapan juga diletakkan di bahu rakyat agar sama-sam menjaga keharmonian yang wujud. Segala hasutan dari anasir luar harus ditepis secara bersama bagi memastikan perpasuan antara rakyat sentiasa kukuh dan utuh. Perpaduan yang wujud juga akan menjamin kelangsungan kemerdekaan dan keamanan negara.