Alkisah bermula tatkala segala haiwan mula boleh berbicara. Hikayat bermula di sebuah belantara yang dimasyhur bergelar Labun Sundal Sang Puaka. Tika itu, haiwan-haiwan berbicara laksana manusia dasawarsa ini.
Dikisahkan orang bahwa belantara itu didiami haiwan pelbagai jenis pelbagai rupa. Si rusa bertanduk emas, sang pelanduk bijak laksana, sang harimau berbelang suasa, sang gajah bergading mutiara dan sang babi puaka bertanda. Di belantara yang luas ini, sang babi puaka menjadi ketua. Tidak dikisahkan orang apakah jasanya sang babi ini kepada haiwan seluruhnya sehingga dia dimasyhur sebagai ketua belantara. Sang harimau berbelang suasa yang menjadi pembantu terpaksa tunduk dalam terpaksa kepada sang babi puaka. Haiwan rakyat yang terdiri dari sang rusa bertanduk emas, sang gajah bergading mutiara dan sang pelanduk yang bijak jua terpaksa tunduk patuh kepada sang babi puaka ini.
Sebelum sang babi dimasyhur, rakyat haiwan belantara hidup dalam aman sentosa. Tiada sengketa tiada duka tiada sengsara. Kebahgiaan rakyat belantara ini turut mewujudkan suasana yang sangat tenteram sesama haiwan rakyat. Rakyat kebanyakan bebas mengadu sembah bertemu muka bersama sang ketua ketika itu iaitu sang singa bertaring nilam. Disangka panas hingga kepetang, rupanya hujan di siang hari. Sang singa telah menghilang tanpa dapat dijejak. Hilangnya tanpa petanda, dicari jumpanya tiada, diseru namanya bergema oleh rakyat sekalian haiwan. Kini sang rakyat berduka dengan kehilangan sang ketua.
Kedukaan itu diganti kemudian dengan sang ketua yang baru. Datangnya dari tanah rata yang tiada jantan betina semuanya. Datangnya tidak diundang, hadirnya tidak dijemput, tibanya tidak disambut. Sang ketua inilah sang babi puaka. Datangnya merampas takhta sang ketua utama. Duduknya di singgahsana dengan wajah penuh murka tiada cahaya. Rakyat kebanyakan yang hanya mampu melihat sekadar mengumpat di belakang. Sebermula sinilah, hidup sang rakyat jelata belantara mula berubah. Kesengsaraan berada di mana-mana. Hidup rakyat seakan kembali ke zaman renaissance...zaman kegelapan...zaman penderitaan...pemerintahan belantara.
Di belantara yang luas ini, golongan rakyat hidup dalam siksaan yang teramat sangat. Tiada bebas tiada kuasa menentang. Sang babi memerintah laksana raja yang tiada belas kasihan. Dia menggunakan taring tunggalnya untuk memerintah dan menghukum rakyat kebanyakan yang terdiri dari golongan sang pelanduk. Rakyat jelata yang tiada upaya ini hanya sekadar mampu melungu..tenganga mendengar kempen durjana sang babi puaka...
Dalam pemerintahan sang babi puaka ini, golongan bangsawan turut ditindas tanpa dapat berkata sepatah jua. Semua rakyat terpaksa mendiam bisu laksana dipanah dengan halilintar pendewa tuna. Dalam kebisuan itu, wujud juga golongan rakyat yang cuba menggulingkan pemerintahan taring besi sang babi puaka. Golongan rakyat jelata ini pula hanyalah terdiri dari golongan pelanduk yang mampu dilanyak dengan sebelah kakinya yang pendek itu..
Kini tiba masanya sang rakyat jelata membalas dendam. Sang babi tunggal mengadakan satu pesta keramaian. Dia menjemput golongan atasan untuk menyertai keramaian tersebut..tetapi!!!!! Pesta itu coba diboikot oleh rakyat jelata yang terdiri dari golongan pelanduk..hahaha....aku jua ketawa kerana aku jua pelanduk yang tiada gigi gerahamnya...aku tidak mampu mengunyah makanan...mengapa aku harus pergi??
Sang babi puaka tidak berpuas hati. Dikumpulnya tenaga kebabian yang masih tersisa dibalik tanda tunggalnya. Sang babi bersuara, lantang tapi wujud nada gentar dalam kelantangan. Aku sekali lagi ketawa. Mengapa sang babi ini semakin tolol, bengap, bangang dan buduh... keramaian yang hanya dia yang suka..menjaga publisiti maruah kebabian mungkin. Aku dengar bahawa golongan sang rusa bertanduk emas dan sang gajah bergading mutiara juga ramai yang menolak keramaian plastik sang babi ini. Tapi aku kasihan kepada golongan ketua-ketua pelanduk..mereka cuba menjaga dua pihak yang bertelagah. Menjaga hati sang pelanduk-pelanduk dan menjaga sifat kebabian sang babi puaka. Nah lihat,sang babi dan pelanduk-pelanduk bertelagah sang pelanduk lain tersepit di celahan.
Pernah juga aku mendengar ketua-ketua pelanduk berjumpa dengan sang babi. Mereka berjumpa untuk menceritakan penderitaan rakyat jelata di bawah tanggungan mereka. Tapi sang babi dengan mentah menolak sembah beradat mereka. Menurut firasat aku, sang babi cemburu mungkin. Cemburu kerana dia sang babi yang perlu disamak sedangkan rakyatnya tiada yang perlu disamak..
Sang babi puaka sebagai ketua ada jua pengikut setianya. Sang anjing kurap papan, yang berlagak jagoan. Dia juga mendatangkan masalah kepada sang pelanduk yang tidak berdosa. Kerana sang anjing kurap ini, aku terpaksa berpisah dengan anak-anak pelanduk yang lain. Pelanduk yang sama denganku juga terpaksa menahan amarah tiap kali berdepan dengan anjing kurap ini. Jijik aku mendekatinya. Sama nasib akan anjing kurap ini dengan sang babi puaka. Datang tiada dijemput, hadir tiada disambut.
Bersama anjing kurap ini, aku temukan juga pasangan yang setaraf sang babi puaka yakni sang babi jambul bertetek labuh. Aku ketawa mendengar namanya. Sudahlah berjambul, bertetek pula labuh. Mungkin bertetek silikon atau disuntik kolagen. Tiada siapa yang tahu. Sang babi jambul ini jua sama sikapnya dengan sang babi puaka. Gemar bercakap yang membengkakkan hati sang rakyat. Aku fikir, memang golongan babi begini sikapnya. Aku semakin seronok mengarang hikayat sang babi puaka bertanda ini.
Terdengar di telingaku bahawa hayat sang babi puaka dan sang babi jambul tiadalah lama di belantara ini. Tiba masanya akan tunggul jua sang babi tunggal ini. Jika aku mampu memegang masa, akanku putar masa ini secepat yang mungkin agar sang babi-babi ini tiadalah lama di belantara yang ku cintai ini. Dan tiba masanya nanti, sang anjing kurap jua menyusul mengikut rentak ago-go sial sang babi-babi. Mereka akan mengangkat kaki meninggalkan belantara yang dahulunya indah kini seperti perkuburan tua. Jua aku berdoa, belantara ini akan kembali seperti sediakala. Tiada berduka tiada sengsara.
Kini aku terpaksa berhenti di sini. Hayatku sebagai pelanduk tiadalah lama. Tapi aku mampu mengembangkan hati kerana aku berjaya mengarang hikayat yang tiada sepertinya dalam alam rakyat belantara. Hikayat ini sebagai tanda ingatan anakcucuku kelak. Aku ingin menjadi seperti Munsyi Abdullah, Buya Hamka, dan semua penghikayat yang hebat.
Tapi apakan daya, aku hanyalah seekor pelanduk yang tiada bernama. Matinya tiada ditangisi, hadirnya tiada dipeduli....sekiranya aku masih mampu menulis hikayat, akanku tabahkan hati menulis. Jika tiada daya untukku berhikayat, sampai di sini saja hikayat yang tiada penghujungnya...